About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Malaysiakini dan Kes Menghina Mahkamah: Kesan penghakiman Mahkamah Persekutuan ke atas kebebasan media dan kebebasan bersuara
Ding Jo-Ann
Oct 13, 2021 9:04 AM
Share To:

Malaysiakini merupakan laman berita dalam talian tertua dan paling bertapak kukuh di Malaysia. Pada 1999, ia merintis jalan, menyediakan berita alternatif di kala kebanyakan saluran media dikawal ketat oleh gabungan pemerintah. Sejak itu, ia semakin berkembang, dan kini, ia menerbitkan berita dalam empat bahasa dengan beberapa juta pengunjung unik setiap bulan.

Pada Februari 2021, mahkamah tertinggi di Malaysia mendapati Malaysiakini bersalah atas kesalahan menghina mahkamah kerana komen pembaca di laman sesawangnya yang mengkritik badan kehakiman. Ini bermakna, Malaysiakini didapati tidak menghormati dan telah melemahkan pentadbiran keadilan, kerana komen pihak ketiga. Keputusan Mahkamah Persekutuan merupakan keputusan majoriti. Ia mendenda Malaysiakini sebanyak RM500,000 ( (~AS$118,000), melebihi jumlah RM300,000 yang dicadangkan pihak pendakwa raya.

Apakah kesan penghakiman ini ke atas perantara internet seperti Malaysiakini yang menempatkan kandungan pengguna di laman sesawang mereka? Dan apakah kesannya kepada kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia secara keseluruhannya?

Latar belakang

Pada 9 Jun 2020, Malaysiakini menerbitkan pengumuman Ketua Hakim Negara tentang pembukaan semula mahkamah selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Ini berlaku pada masa yang sama ketika 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman digugurkan, membawa kepada pembebasannya.

Lima komen pengguna yang menggunakan nama samaran muncul di artikel pengumuman Ketua Hakim Negara itu. Mereka menuduh mahkamah membebaskan penjenayah tanpa perbicaraan, dan membuat spekulasi tentang apakah Ketua Hakim Negara seorang yang korup. Seorang daripada mereka menggunakan istilah ‘mahkamah kangaru’ (istilah yang digunakan untuk menggambarkan mahkamah tidak sah yang mengabaikan prinsip undang-undang) dan seorang lagi menggelar badan kehakiman sebagai bahan ketawa.1

Tiga hari kemudian, polis menghubungi Malaysiakini berkenaan lima komen tersebut. Portal berita itu telah memadamkan komen-komen berkenaan dalam masa 12 minit selepas dimaklumkan mengenainya.

Meskipun begitu, Peguam Negara (AG) memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding mahkamah ke atas Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya Steven Gan. Kebenaran itu diberikan pada 17 Jun 2020.

Dalam membina kes prima facie,2 AG dibantu seksyen 114A Akta Keterangan. Ia menyatakan bahawa selagi nama seseorang itu muncul di laman sesawang yang menggambarkan dirinya sebagai pemilik, hos, pengendali, editor, atau subeditor, mereka dianggap bertanggungjawab menyiarkan isi kandungan di laman itu. Kebiasaannya, “sesiapa yang membuat dakwaan harus membuktikannya”. Bagaimanapun, seksyen 114A membalikkan beban pembuktian. Jadi, Malaysiakini pula yang harus menyanggah andaian tersebut, dengan membuktikan bahawa ia tidak menerbitkan komen daripada pihak ketiga itu.

Pembelaan Malaysiakini

Dalam pembelaan Malaysiakini, ia menyatakan bahawa ia tidak menerbitkan komen pihak ketika itu dan tidak mempunyai pengetahuan tentangnya sehinggalah dimaklumkan polis. Selepas itu, ia dengan segera memadam komen berkenaan. Oleh itu, Malaysiakini berhujah bahawa ia tidak mempunyai niat untuk melemahkah pentadbiran keadilan menerusi komen-komen tersebut.

Dengan secara segera memadam komen berkenaan sejurus dimaklumkan mengenainya, Malaysiakini turut mematuhi Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia. Kod itu menetapkan satu sistem tandakan-dan-hapuskan, iaitu penyedia kandungan tidak perlu memantau aktiviti pelanggan mahupun menyekat akses bahan mereka, sehinggalah dimaklumkan mengenai kandungan yang menyinggung.3 Selepas itu, mereka diberikan masa yang munasabah untuk memadam kandungan berkenaan. Berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia, pematuhan kod adalah merupakan satu pembelaan terhadap apa-apa prosiding yang timbul daripada hal-hal yang tertakluk oleh kod itu.4

Malaysiakini tidak mengawal komen pengguna sebelum komen itu diterbitkan. Ia membenarkan hanya pengguna berdaftar sahaja menulis komen. Terma dan syaratnya mengandungi penafian biasa dan menghendaki penggunanya untuk tidak membuat hantaran kandungan yang menyalahi undang-undang, kesat atau mengganggu. Ia menggunakan satu sistem saringan yang memadam secara automatik hantaran yang mengandungi perkataan-perkataan yang dianggap menyinggung. Pengguna boleh melaporkan mana-mana komen, yang akan mencetuskan semakan semula oleh pentadbir di Malaysiakini.

Keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan

Penghakiman Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bersalah atas kesalahan menghina mahkamah dengan keputusan majoriti 6-1.5 Keputusan majoriti berpendapat bahawa Malaysiakini gagal menyanggah andaian undang-undang di bawah seksyen 114A yang menganggap mereka sebagai pihak yang menyiarkan komen berkenaan.

Dalam satu afidavit, pengarah Malaysiakini menegaskan bahawa portal berita itu tidak mempunyai pengetahuan tentang komen berkenaan sehinggalah dimaklumkan tentangnya. Mahkamah Persekutuan tidak dapat menerima perkara tersebut dengan membangkitkan mengenai pasukan editorial Malaysiakini yang “tersusun, diselaraskan dan teratur”.6 Ia membuat “kesimpulan yang tidak dapat disanggah” bahawa sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka mesti tahu mengenai komen berkenaan. Oleh yang demikian, penafian semata-mata tidak memadai untuk portal itu mendakwa ia tidak mengetahui tentangnya.7

Mahkamah itu melihat Malaysiakini sebagai satu entiti komersial yang menerima manfaat komersial secara tidak langsung daripada ruangan komen. Ia juga mempunyai sistem saringan untuk memadam komen-komen yang mengandungi kata-kata menyinggung. Sebagai pemilik dan pereka laman sesawang tersebut, maka ia mempunyai kawalan penuh terhadap apa yang diterbitkan dan apa yang tidak.

Justeru, mahkamah itu mendapati Malaysiakini mesti menanggung risiko dan tanggungjawab akibat membenarkan platformnya beroperasi dalam cara begitu, dan tidak boleh memindahkan risiko tersebut kepada pelanggannya. Apa yang penting, mahkamah berkata bahawa Malaysiakini “sepatutnya mengetahui” bahawa dengan membenarkan pembaca meninggalkan komen, ia mendedahkan dirinya kepada risiko daripada kandungan komen-komen berkenan.8 Dengan pengalaman dimiliki pasukan editorial, mereka dijangkakan pasti dapat meramal jenis komen bagaimana yang akan diterima pada artikel berkenaan, lebih-lebih lagi penerbitannya adalah pada masa yang sama dengan pembebasan Musa Aman.

Penghakiman bertentangan Mahkamah Persekutuan

Penghakiman bertentangan dikeluarkan oleh Hakim Nallini Pathmanathan mendapati Malaysiakini tidak bersalah atas kesalahan menghina mahkamah.

Dia mendapati Malaysiakini berjaya menyanggah andaian bahawa ia menyiarkan komen-komen berkenaan, menerusi afidavit yang menyatakan bahawa Malaysiakini tidak mempunyai pengetahuan mengenai komen-komen itu sehingalah dimaklumkan tentangnya. Memandangkan tiada bukti dikemukakan untuk menyatakan sebaliknya, maka keterangan itu sepatutnya masih berdiri.

Penghakiman bertentangan itu turut menyatakan bahawa niat merupakan elemen penting dalam kesalahan kuasi-jenayah menghina mahkamah, lebih-lebih lagi dengan kesan serius daripada denda dan kemungkinan dipenjarakan. Memandangkan Malaysiakini bukanlah pihak yang menyiarkan komen itu, ia tidak mungkin mempunyai niat yang diperlukan untuk membuktikan ia bersalah atas kesalahan tersebut.

Hakim Nallini melihat bahawa menggunakan penilaian “sepatutnya mengetahui” ke atas perantara seperti Malaysiakini, bermaksud mereka harus menjalankan pemantauan sepanjang masa terhadap kandungan oleh pihak ketiga, demi mengelakkan kebertanggungjawaban. Ini, katanya, merupakan satu syarat yang tidak dapat ditegakkan.9 Dia mengakui bahawa Parlimen mengguna pakai pendekatan tandakan-dan-hapuskan, dan sebarang perubahan adalah lebih wajar ditentukan oleh badan perundangan itu, bukannya mahkamah.

Lagi pula, meletakkan beban yang tidak wajar pada bahu perantara untuk kandungan yang dibuat pihak ketiga, boleh membawa kepada pendekatan untuk menghindari risiko serta penghapusan kandungan lain yang tidak bersifat menyinggung. Ini akan melemahkan perlindungan terhadap kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan.10

Liabiliti Perantara Internet: Satu Spektrum

Untuk memahami penghakiman Malaysiakini dan kesannya, perlulah dilihat pada amalan berkenaan liabiliti laman dalam talian yang menempatkan kandungan pihak ketiga - dikenali sebagai perantara internet - dan bagaimana ia berkembang.

Pelopor seperti AS dan Kesatuan Eropah mengenakan peraturan yang mempunyai peruntukan “pelabuhan selamat (safe harbours)” buat perantara internet. Bermakna, penyedia kandungan seperti Amazon atau eBay dikecualikan daripada liabiliti terhadap kandungan pihak ketiga di platform mereka jika mereka membuang kandungan yang melanggar peraturan dalam masa yang munasabah selepas dimaklumkan mengenainya.11 Kepastian sedemikian dalam undang-undang adalah penting untuk membolehkan internet menjadi alat komunikasi, perniagaan, hiburan dan seumpamanya.

Selepas peraturan tersebut dikuatkuasakan, penggunaan internet telah meningkat berlipat kali ganda. Capaian dan pengaruh besar gergasi media sosial seperti Facebook menyebabkan wujud gesaan agar perantara internet memikul lebih banyak tanggungjawab, terutamanya berkaitan ucapan kebencian dan keganasan berasaskan jantina di alam maya. Bagaimanapun, ini boleh menyebabkan tindak balas keterlaluan oleh hos dan seterusnya membawa kepada lebih banyak kandungan pengguna dibuang. Hal ini menimbulkan kebimbangan tentang kuasa sembarangan yang digunakan platform seperti Facebook dalam mengawal ucapan dalam talian.

Keputusan mahkamah di seluruh dunia memperlihatkan pandangan yang berbeza-beza terhadap isu ini.

Kes Dafra12 di Brazil mendapati Google bertanggungjawab kerana gagal membuang parodi-parodi kepada satu iklan Dafra yang dimuat naik di Youtube. Meskipun Google telah membuang parodi awal yang telah ditandakan oleh pengeluar motosikal tersebut, mahkamah tetap mendapati ia bertanggungjawab ke atas parodi-parodi serupa yang dimuat naik pengguna lain dengan menggunakan tajuk berbeza. Mahkamah menetapkan agar semua video serupa dibuang dalam masa 24 jam, meskipun ia merupakan sesuatu yang mustahil secara teknikal. Mahkamah berkata bahawa kurangnya penyelesaian teknikal tidak mengecualikan sesuatu pengeluar itu daripada liabiliti. Jika Google mencipta “raksasa yang tidak dapat dijinakkan”, maka hanya ia sahajalah yang patut didakwa untuk sebarang “kesan dahsyat yang terhasil akibat kurangnya kawalan” ke atas penggunanya.

Pendapat berbeza pula dilihat dalam kes Shreya Singhal13 di India, bahawa perantara internet tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk kandungan pihak ketiga, sehinggalah mahkamah atau agensi kerajaan berkaitan mengeluarkan satu notis rasmi untuk pembuangan kandungan. “Apabila ucapan dalam talian dikatakan melanggar undang-undang, pihak berkuasa awam yang kompeten harus memutuskan berkenaan hal tersebut - bukannya platform swasta”. Ini akan melindungi ucapan yang tidak menyalahi undang-undang daripada dibuang oleh penguatkuasa swasta.14

Dua kes ini memberikan gambaran yang jauh berbeza tentang internet - satu sebagai raksasa yang tidak dapat dijinakkan, satu lagi sebagai benteng terhadap kebebasan bersuara yang harus dilindungi. Satu memerlukan perantara untuk menjadi lebih berjaga-jaga supaya kandungan yang menyinggung dapat dibuang pada kadar segera. Satu lagi pula memerlukan perantara untuk lebih berhati-hati dalam membuang kandungan, dan harus memastikan setiap pembuangan kandungan mempunyai alasan yang munasabah.

Penghakiman Malaysiakini

Dalam perbezaan sedemikian, di manakah terletaknya penghakiman Malaysiakini?

Metafora yang digunakan mahkamah bahawa Malaysiakini berpotensi untuk menjadi “kereta api hilang kawalan (runaway train)”15 yang membinasakan, menggambarkan hasrat mahkamah agar perantara meningkatkan kawalan di platform mereka. Ini mempunyai kesan yang serius. Dengan menjadikan perantara bertanggungjawab ke atas kandungan oleh pihak ketiga - meskipun sebelum ia menerima makluman mengenainya - mahkamah pada dasarnya meminta perantara laman-laman sesawang untuk melakukan pemantauan secara umum dan berterusan. Ini merupakan satu tugas berat buat laman seperti Malaysiakini yang menerima purata 2,000 komen setiap hari.

Keputusan itu turut boleh memberi kesan kepada perantara lain seperti perniagaan kecil yang mempunyai laman media sosial, atau laman e-dagang yang membenarkan ulasan pengguna. Asalkan hos itu mempunyai sebarang bentuk kawalan terhadap kandungan pengguna, mereka berpotensi untuk dipertanggungjawabkan kerana tidak membuang kandungan yang menyinggung, meskipun jika mereka tidak sedar akan kewujudan kandungan tersebut.

Keputusan itu turut menggalakkan serangan hasut maya (troll), apabila pengguna dengan sengaja membuat hantaran menyinggung untuk mencetuskan kontroversi. Kini, ia juga berpotensi menjadi liabiliti.16

Perlu juga disebutkan di sini bahawa kesalahan menskandalkan mahkamah yang digunakan dalam kes ini merupakan undang-undang kuno British. Pada tahun 1899 pun, ia disifatkan sebagai lapuk,17 dan dimansuhkan di UK pada 2012.

Bidang kuasa lain pula telah mempersempit elemen menghina mahkamah ini supaya ia hanya terpakai apabila wujud risiko serius melibatkan bahaya yang bakal menimpa pentadbiran keadilan. Seorang ketua negara atau tentera yang mengancam badan kehakiman,18 sebagai contoh, mungkin memenuhi kriteria ini, bukannya kata-kata rambang yang ditinggalkan di internet.

Mahkamah Persekutuan Malaysia mahu keputusannya menjadi peringatan buat orang awam. Bagaimanapun, bukanlah orang awam yang paling terkesan dengan keputusan ini, sebaliknya perantara seperti Malaysiakini.

Pun begitu, kesan terhadap perantara tidaklah seragam. Keputusan itu tidak memberi kesan kepada hos papan buletin19 yang tidak dikawal atau perkhidmatan pesanan seperti WhatsApp dan Telegram - tempat di mana kenyataan yang jauh lebih menghina dapat ditemukan.20

Walau bagaimanapun, hos yang cuba menyediakan satu persekitaran lebih kondusif untuk wacana, dengan menyaring kata-kata yang menyinggung, dan menubuhkan mekanisme pelaporan dan semakan semula, akan menerima kesan buruk.

Mungkin kerana mahu mengelak paradoks yang seperti inilah, undang-undang AS mempunyai klausa Good Samaritan. Klausa ini mengecualikan perantara internet daripada liabiliti sekiranya mereka mengambil tindakan dengan niat yang baik untuk menyekat akses kepada bahan-bahan lucah, terlalu ganas dan mengganggu.21

Seperti itu jugalah, adalah lebih baik untuk memberikan sedikit kelonggaran kepada laman-laman seperti Malaysiakini menerusi dasar tandakan-dan-hapuskan, supaya usaha untuk menggalakkan wacana dan debat awam tidak dihukum secara keterlaluan. Dengan cara ini, laman-laman sesawang juga tidak perlu membuang fungsi komen yang sekaligus menutup ruang wacana, demi mengelak liabiliti.

Konteks Malaysia

Adalah juga penting untuk melihat keputusan ini dari konteks Malaysia. Kebebasan bersuara adalah dijamin oleh perlembagaan, tetapi terdapat sebilangan undang-undang yang menyekat kebebasan ini dan digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat.

Keputusan majoriti itu sangat bergantung pada kes Delfi22di Estonia, dengan menyatakan bahawa kes itu mempunyai persamaan dengan kes Malaysiakini. Meskipun kenyataan itu mungkin ada benarnya, Estonia dan Malaysia merupakan dua negara dengan konteks yang sangat berbeza. Estonia ialah negara yang jauh lebih bebas, menduduki tangga ke-15 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, berbanding Malaysia di tangga ke-119.23 Ia juga mengisytiharkan akses internet sebagai suatu hak asasi manusia, 10 tahun lebih awal berbanding Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Meskipun terdapat limitasi ke atas perantara di Estonia, ia turut mempunyai perlindungan yang kuat terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media di negara itu.

Penghakiman serupa memberi kesan yang jauh berbeza di Malaysia, memandangkan kurangnya kebebasan, dan ini memberikan pihak berkuasa satu lagi alat menentang perbezaan pendapat dan pengkritik kerajaan.

Kesan ini lebih-lebih lagi akan dirasai oleh laman-laman berita, yang sudah pun berdepan dengan persekitaran mencabar gara-gara Covid-19. Meskipun begitu, media bebas tetap diperlukan - terutamanya pada waktu sekarang - bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab atas pengurusan pandemiknya, serta kesulitan ekonomi yang berakibat daripadanya.

Malangnya, dalam persekitaran sebegini, mahkamah yang selalunya menjadi benteng terakhir menentang penindasan kerajaan, membuat keputusan yang memberikan lebih banyak cabaran buat media yang sudah sedia tersepit.

Kesimpulan

Keyakinan terhadap badan kehakiman sudah semestinya digalakkan dan ditegakkan. Bagaimanapun, masih tidak jelas sejauh manakah penghakiman ini dapat menggalakkan rasa hormat terhadap pentadbiran keadilan.

Sememangnya, biarpun apa niat mahkamah, bolehlah dikatakan bahawa penghakiman tersebut menghasilkan kesan yang bertentangan dengan apa yang ingin dicapai. Pada hari penghakiman, dalam masa empat jam sahaja, orang awam menunjukkan amarah mereka dengan mengumpul lebih RM500,000 untuk membayar denda Malaysiakini. Maka, apa yang dicapai daripada penghakiman mahkamah itu menjadi satu hal yang dipertikaikan - bukan sahaja buat mahkamah itu sendiri, tetapi juga buat kebebasan bersuara di negara ini.


1 Lihat Peguam Negara Malaysia v Mkini Dotcom Sdn Bhd & Anor [2021] 2 MLJ 652, para 3.

2 Istilah perundangan yang membawa maksud “pada pandangan pertama” – standard atau tahap yang diperlukan ketika meminta kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah

3 Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, Bahagian 5, seksyen 10 dan 11.

4 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seksyen 98 dan 99.

5 Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan didapati tidak didapati bersalah kerana dia tidak dianggap sebagai penerbit berdasarkan seksyen 114A Akta Keterangan, atau dianggap bertanggungjawab atas tindakan Malaysiakini.

6 n.1, para 81.

7 Mahkamah Persekutuan bergantung pada beberapa kes yang berpegang bahawa bukti atau maksud pengetahuan dapat disimpulkan daripada keadaan dan fakta yang dibuktikan. Lihat n.1, paras 65 hingga 70.

8 n.1, para 131.

9 n.1, para 263.

10 n.1, para 264.

11 Lihat US Communications Decency Act 1996, seksyen 230 dan Digital Millennium Copyright Act 1198, seksyen 512; European Union E-Commerce Directive 2000, Perkara 14.

12 Superior Court of Justice, Fourth Panel, Google Brazil v Dafra, Special Appeal No 1306157/SP.

13 Shreya Singhal v Union of India AIR 2015 SC 1523.

14 Lihat juga the Argentinian Supreme Court case of Rodriguez et al v Google Inc et al [2014] CSJN Case No 337: 1174 dan the Indian Supreme Court case of Prashant Bushan & Anor, Re Suo Motu Contempt Petition (Crl) No 1 of 2020, SC.

15 n.1, para 76.

16 Sesetengah serangan hasut maya sebenarnya didanai oleh kerajaan. Dalam satu laporan pada 2019 oleh Oxford Internet Institute, Malaysia didapati mempunyai tentera siber berkapasiti sederhana, dengan pasukan sepenuh masa yang menggunakan strategi konsisten untuk mengawal ruang maklumat dan memanipulasi media sosial.

Lihat S Bradshaw & PN Howard, ‘The Global Disinformation Disorder: 2019 Global Inventory of Organised Social Media Manipulation’, Oxford Internet Institute, 2019.

17 McLeod v St Aubyn [1899] AC 529, 561. Pandangan The Privy Council adalah bahawa kesalahan itu tidak lagi digunakan di England, tetapi, “di koloni kecil, yang terdiri terutamanya daripada populasi berwarna (bukan berkulit putih)”, pemenjaraan untuk serangan yang menghina mahkamah adalah diperlukan untuk memelihara maruah dan kehormatan mahkamah.

18 Lihat sebagai contohnya kes Kanada R v Kyopto (1987) 62 OR (2d) di mana dinyatakan bahawa harus ada bahaya yang jelas dan nyata terhadap pentadbiran keadilan untuk kesalahan menskandalkan mahkamah itu dilakukan.

19 n.1, para 99.

20 Keputusan itu turut membezakan Facebook, Twitter dan Instagram, "di mana penyedia platform tidak menawarkan apa-apa pun kandungan dan di mana penyedia kandungan mungkin merupakan orang persendirian yang mengendalikan laman web atau blog sebagai satu hobi." Lihat n.1, para 99.

21 Communications Decency Act, section 230.

22 Delfi AS v Estonia (Application No 64569/09) (2015) (ECtHR).

23 Reporters Without Borders, World Press Freedom Index 2021. 

Powered By: