About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Menempatkan jantina dalam media
Wathshlah Naidu Ng Miao Leng Centre For Independent Journalism
Oct 14, 2021 2:58 AM
Share To:

Trend Global

Meskipun terdiri daripada jumlah wanita dan lelaki yang hampir sama, dunia yang dapat dilihat di media berita menguatkan stereotaip tentang apa yang ditanggap sebagai sikap maskulin dan feminin. Berdasarkan laporan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wanita menjadi subjek berita hanya untuk satu perempat daripada semua laporan berita. Hal ini dapat dilihat daripada liputan berita berkenaan konflik ketenteraan, contohya. Lelaki diminta untuk mengulas mengenai konflik itu dalam pelbagai peranan: pejuang, panglima perang, pakar, dan ahli politik. Pandangan wanita pula jarang ditanyakan. Jika ada pun, ia daripada sudut wanita sebagai “tokoh keluarga”, mangsa, bahkan sebagai mereka yang dieksploitasi secara seksual. Pelaporan yang peka jantina seharusnya terhindar daripada stereotaip yang mengehadkan dan memandang remeh terhadap wanita mahupun lelaki, untuk menyampaikan gambaran dunia secara tepat berserta kemungkinan-kemungkinannya.

Berdasarkan satu tinjauan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia pada 2020, wanita lebih kurang diwakili dalam peranan-peranan editorial seperti pengarah, ketua biro dan editor. Adalah dilaporkan bahawa kurangnya perwakilan wanita ini merupakan akibat daripada kitaran toksik dan berterusan, apabila tidak ramai mentor di bilik berita yang sanggup membina wadah yang diperlukan untuk pemimpin-pemimpin wanita masa hadapan.

Pengenalan

Dalam menggalakkan perwakilan yang adil dalam industri media selain penggunaan bahasa serta paparan yang bersifat adil jantina, adalah penting untuk menilai status kesamarataan jantina dalam dasar pengoperasian. Antara lain, ini termasuklah di peringkat membuat keputusan, hak pengamal media wanita, tahap penyertaan serta kebebasan bersuara.

Kesamarataan jantina dalam media Malaysia juga harus wujud dalam keseluruhan ekosistem media di negara ini. Kita melihat perkembangan membimbangkan dalam masa 20 bulan ini apabila media berada bawah pengawasan ketat oleh kerajaan dan berdepan berbagai-bagai bentuk tindakan keras, termasuk disiasat, diganggu, dan dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan kerana laporan yang bersifat mengkritik atau mengangkat pandangan yang berbeza.Undang-undang yang bersifat menekan seperti seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia terus digunakan, kadang-kadang dengan sewenang-wenang, untuk mengekang kebebasan media.

Wartawan wanita juga didapati berdepan serangan dan diksriminasi yang semakin menjadi-jadi, hanya kerana jantina mereka, khususnya di ruang maya. Pada pertengahan Mac 2020, dilaporkan bahawa wartawan Malaysiakini Koh Gah Chie diserang di Facebook berhubung satu artikel yang dihasilkannya, yang memetik Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kegiatan pembalakan di Kelantan. Hantaran itu mengandungi serangan peribadi dan kesat ke atas Koh, dengan ramai yang memanggilnya rasis dan ada juga yang mahu dia dicederakan. Tahun sama menyaksikan serangan dalam talian, selalunya berasaskan jantina, berlaku ke atas wartawan wanita lain ekoran tindakan keras oleh kerajaan. Ini termasuklah serangan ke atas bekas koresponden South China Morning Post, Tashny Sukumaran pada Mei 2020 berhubung artikel yang dihasilkannya tentang serbuan pada Hari Buruh oleh Jabatan Imigresen Malaysia ke atas warga asing di Kuala Lumpur. Melissa Goh dari Channel News Asia juga menerima serangan di alam maya ekoran laporannya berhubung isu pekerja asing di Malaysia. Ketua Editor CodeBlue, Boo Su-Lyn dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis pada Jun 2020 berhubung empat artikel yang melaporkan tentang dapatan kajian - yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia - oleh jawatankuasa inkuiri bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden kebakaran pada 2016 di Hospital Sultanah Aminah di Johor.

Dalam landskap yang mengancam kebebasan media ini, ada keperluan untuk mengukuhkan analisis ini demi mengangkat peranan mentransformasi yang ada pada media dalam konteks operasinya, selain dalam memastikan lensa kesamarataan jantina diterapkan dalam paparan dan liputan berita secara keseluruhan.

 

Bahagian 1: Menggalakkan pelaporan yang peka jantina

“Daripada segi liputan isu, bilakah masanya kita membuat liputan isu wanita? Di manakah cerita-cerita yang memperkasa wanita, di manakah wanita dalam politik, ekonomi dan kenapa kita dapati liputan dan ruang yang begitu terbatas diberikan kepada wanita?” [Sumber 1]

Pertamanya, stereotaip jantina dan objektifikasi terhadap wanita yang berleluasa adalah pada tahap membimbangkan. Media terus-terusan mengaitkan wanita dengan peranan jantina tradisi serta menekankan peranan wanita sebagai ‘penjaga’, terutamanya dalam latar profesional. Media juga selalu membuat rujukan atau paparan atau laporan yang tidak perlu berkenaan penampilan seseorang, yang membawa kepada kecam badan (body shaming) atau menormalkan standard tubuh yang tidak realistik berdasarkan jantina.

Kedua, terdapat keperluan untuk mengelakkan paparan jantina secara negatif. Pengamal media harus sentiasa memeriksa sikap berat sebelah yang ada pada diri mereka sendiri sebelum menghasilkan laporan, memandangkan deadnaming (menggunakan nama lama seseorang transgender tanpa persetujuannya, seperti ketika memaparkan Nur Sajat) sering berlaku. Terdapat juga keperluan untuk mencabar “gaya rumah penerbitan” di saluran berita, dan menekankan tentang perlunya untuk media tidak mendedahkan maklumat peribadi wanita atau golongan LGBTQ dalam pelaporan mahkamah; tidak menamakan wanita atau kanak-kanak apabila melaporkan tentang perkara yang boleh memberikan kesan negatif kepada mereka.

Selain itu, media perlu mempunyai lebih rasa hormat buat kata ganti nama jantina seperti menyebut satu nama - sama ada nama yang sah atau nama lahir - dan memberikan penekanan kepada nama yang lebih disukai ketika melaporkan berita jenayah melibatkan transgender.

Ketiga, terdapat trend sikap kejantanan yang toksik (toxic masculinity) dalam media. Media sering menyebarkan mentaliti ‘lelaki akan sentiasa berperangai seperti lelaki’ dan kerap kali hanya memetik pandangan lelaki sebagai “pakar”, termasuk untuk isu-isu wanita.

Selalunya terdapat jurang dalam menempatkan dan menggunakan lensa jantina ketika melaporkan isu arus perdana. Ini sering dizahirkan melalui kurangnya kepelbagaian dalam memetik sumber.

”Selalunya mereka terlalu banyak mendengar pandangan daripada lelaki berbanding wanita. Sebagai contoh, dalam kes COVID, kamu lihat lelaki dipetik dengan begitu banyak, dan wanita tidak dipetik sebagai pakar, melainkan apabila kita bercakap tentang isu jantina, kita cenderung untuk tidak terus terfikirkan wanita. Sebagai wartawan, saya akui juga begitu, kita tidak fikir untuk menyeimbangkan dari sudut itu, kita juga harus menyeimbangkan sumber-sumber kita.” [Sumber 2]

Keempat, penggunaan bahasa yang memalukan adalah membimbangkan. Media tidak harus menggunakan agama untuk menghalalkan penggunaan bahasa yang memalukan, dan elakkan hubung kait yang tidak perlu kepada nilai agama atau budaya (e.g. tidak perlu berkata bahawa adalah berdosa menjadi seorang LGBTQ). Media harus merombak “gaya rumah penerbitan” yang sudah ketinggalan zaman di saluran berita kepada bahasa yang lebih mentransformasikan jantina, mengelakkan petikan kata-kata yang bermasalah dan mempertimbangkan untuk mengolah semula ulasan daripada sumber temu bual yang mungkin mengandungi bahasa memalukan secara terang-terangan.

Kelima, selalunya, gangguan seksual dan keganasan berasaskan jantina tidak dilaporkan dalam ekosistem ‘keganasan ke atas wanita’ yang lebih besar. Media harus mengenal pasti jenayah yang dikaitkan dengan keganasan berasaskan jantina dengan betul. Mereka harus menggambarkan jenayah sebagai jenayah dan bukannya “insiden”; harus mempercayai wanita dan mangsa; dan jangan pula memberikan alasan bagi membenarkan serangan ke atas mereka. Wajar disebutkan di sini bahawa media harus tidak mendedahkan maklumat yang dapat mendedahkan identiti mangsa, terutama yang melibatkan mangsa bawah umur.

Bahagian 2: Menggalakkan persekitaran kerja yang sama rata antara jantina

Pertama, terdapat kekurangan perwakilan wanita dalam lembaga pengurusan. Mereka yang ditemu bual dalam kumpulan sasaran menyatakan punca kurangnya pemimpin wanita adalah disebabkan ‘kesulitan’ sekiranya wanita menjadi isteri atau ibu di kemudian hari. Tambahan pula, terdapat tanggapan bahawa editor menganggap wartawan wanita sebagai kurang komited, dan oleh itu tidak memberikan peranan yang lebih penting kepada mereka. Kebimbangan lain yang dibangkitkan adalah termasuk gaji yang tidak setara.

“80% daripada kami ialah wartawan wanita, sebahagian daripada kami merupakan ibu yang bekerja, mereka harus harus mengambil anak-anak. Terdapat editor yang tidak cukup memahami dan melayan wanita dengan negatif, dengan berkata ‘masuk jam 5 dia dah tak boleh buat apa-apalah.’ Rasa seperti kami tidak cukup dihormati sebagai seorang ibu, isteri atau anak. Kami hanya minta difahami sedikit.” [Sumber 3]

Wartawan wanita sering berdepan cabaran kerana wanita lazimnya diharapkan untuk menggalas peranan-peranan tertentu dalam masyarakat. Mereka selalu terlepas peluang untuk kenaikan pangkat kerana cabaran berkaitan penjagaan anak, selain menjadi penjaga utama buat ibu bapa yang semakin berusia. Ini menyebabkan wanita sering distereotaip dalam diam, apabila ramai yang membuat tanggapan sendiri bahawa wanita lebih suka “mundur” daripada cita-cita kerjaya mereka, demi memberikan tumpuan pada perkahwinan atau anak-anak.

“Kos sentiasa menjadi faktor pertimbangan apabila bercakap tentang tugasan, tetapi itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghalang akses sama rata terhadap peluang, kita boleh ubah ini dengan menggunakan teknologi lebih baik. Walaupun untuk TV tradisional, kita masih boleh siarkan liputan langsung dari rumah. Ini antara perkara-perkara kecil yang kita boleh laksanakan.” [Sumber 6]

Ini menunjukkan bahawa perlunya pertambahan perwakilan wanita di peringkat pengurusan untuk memecahkan saluran komunikasi tidak formal yang bersifat patriarki ini. Perlu dibetulkan anggapan bahawa mereka akan meninggalkan kerja untuk jangka masa yang lama lalu akan menjadi tidak komited terhadap tugasan profesional mereka.

“Bukan mudah untuk wanita diterima dalam ‘kelab lelaki’ ini, ia masih merupakan ruang yang didominasi kaum lelaki dengan mereka selalu keluar minum, dan oleh itu, wartawan wanita selalu ditinggalkan, adalah lebih sukar lagi untuk berbual dengan bos-bos.” [Sumber 4]

“Terdapat ramai wartawan wanita senior yang menulis laporan dengan lebih baik tetapi mereka selalu diketepikan kerana ‘sesi lepak’ dengan bos-bos. Mereka tiada akses kepada perbincangan rasmi di pejabat. Akibatnya, rakan sekerja lelaki mendapat lebih banyak peluang naik pangkat.” [Sumber 5]

Kedua, turut dibangkitkan berkenaan kurangnya penyertaan wartawan wanita dalam kesatuan wartawan. Wanita adakalanya dilihat sebagai “terlalu lemah atau mudah termakan pujukan” untuk tunduk pada tuntutan pengurusan ketika membuat Perjanjian Kolektif.

Oleh itu, usaha haruslah dilakukan untuk menggalakkan wanita turut serta dalam kesatuan dan memberikan input dalam Perjanjian Kolektif. Langkah proaktif harus dilakukan untuk mendapatkan pandangan wanita daripada latar belakang yang pelbagai memandangkan wanita bukanlah semuanya sama. Apa yang remeh buat sebahagian wanita, mungkin tidak boleh diterima oleh sebahagian wanita yang lain.

Ketiga, ada stereotaip terhadap wartawan yang tidak “mengikut acuan” (e.g. bersifat keperempuanan, dan sebagainya) dan mereka selalu diberikan portfolio yang tidak mereka inginkan. Kebimbangan lain tentang peluang tidak sama rata (e.g. mereka tidak dihantar ke tugasan yang lebih penting) turut dibangkitkan dalam kumpulan sasaran berkenaan.

“Apabila bercakap tentang kesamarataan jantina, apabila kita bercakap berkenaan lelaki dan wanita yang tidak mengikut ‘bentuk’ seorang lelaki atau wanita, mereka semuanya akan diketepikan. ‘Orang yang lembut’ tak dilihat sebagai seseorang yang boleh membuat liputan jenayah. Ada satu cerita, tentang seseorang yang mahu membuat berita politik, tetapi kerana penampilannya, dia diketepikan. Dia berhenti kerja kerana dia mendapati ini bukanlah perkara yang dia mahu lakukan. Jika kamu lihat pada kelayakan akademik, mereka mempunyai kelayakan yang mengagumkan.” [Sumber 7]

Keempat, terdapat kebimbangan yang dibangkitkan mengenai jenaka seksis dan gangguan seksual di tempat kerja. Seorang wartawan berkongsi cerita tentang seorang pelatih industri diganggu secara seksual oleh editor berpengalaman dan memang diketahui dengan meluas di tempat kerja bahawa editor tersebut memang mudah bersikap begitu. Terdapat juga cerita lain tentang editor yang menggunakan wartawan wanita sebagai “umpan” untuk mendapatkan temu bual dengan sumber-sumber tertentu. Perkara sebegini menjadi perkara biasa dalam persekitaran kerja.

“Mentaliti bahawa wanita mampu mendapatkan cerita yang lebih baik kerana rupa atau cara kelakuan mereka, masih lagi berleluasa.”[Sumber 8]

“Pernah terjadi seorang ahli politik tinggal di hotel, wartawan yang mahu menemu bual dia memaklumkan kepada editor bahawa ahli politik itu memberikan nombor bilik dan memintanya datang ke bilik. Editor itu tidak memandang hal itu dengan serius dan berkata kamu ‘pandai-pandai’, kekalkan hubungan yang baik dengan dia dan jangan jatuh dalam perangkapnya. Menggunakan wanita untuk mendekati lelaki masih berleluasa dan ini membawa kepada gangguan seksual.” [Saksi 9]

Saranan

Terdapat keperluan untuk beralih daripada perbincangan yang menumpukan hal remeh-temeh tentang naratif negatif berkenaan wanita atau komuniti LGBTQ, kepada perbincangan isu-isu serius yang lebih relevan (e.g. status kesihatan mental remaja LGBTQ). Bagi membantu peralihan perbincangan ini, media seharusnya turut mengetengahkan aktivisme, kisah dan realiti kehidupan wanita tempatan.

Latihan secara kerap tentang kepekaan jantina juga harus digalakkan, agar media tidak menguatkan semula stereotaip.

Sebaiknya organisasi media mengguna pakai saranan berikut untuk menggalakkan penggunaan bahasa yang bersifat adil jantina dalam pelaporan mereka. Organisasi media:

  1. harus menyatakan dasar ketelusan mereka secara terbuka

  2. memasukkan amaran pencetus pada permulaan artikel

  3. mengambil petugas media yang peka jantina

  4. menyediakan glosari istilah untuk rujukan media

  5. wajar memberikan platform buat aktivis LGBTQ untuk bersuara dalam isu-isu LGBTQ

  6. menyediakan latihan tentang pemahaman rangka kerja intersectionality (kesalingbergantungan dan persilangan antara kategori atau faktor) untuk memasukkan suara yang lebih pelbagai sebagai sumber

  7. memasukkan modul pemikiran berfalsafah dan kritis dalam latihan bakal wartawan

  8. mempelbagaikan sudut pandang di dalam bilik berita, terutamanya dalam peringkat membuat keputusan

  9. mendapatkan beberapa sudut pandang (bukan hanya daripada lelaki, dan bukan hanya daripada peguam sahaja) ketika menulis laporan

  10. mempunyai barisan editor yang pelbagai atau inklusif di bilik berita, bagi mengurangkan penggunaan bahasa yang bersifat mendiskriminasi.

Dalam menggalakkan kesamarataan jantina dalam organisasi media, penyusunan sumber manusia (HR) yang lebih bersifat inklusif harus tersedia. Jabatan HR di organisasi media harus mengatur perbincangan yang kerap dengan wartawan wanita untuk mengetahui seksyen media yang paling diminati mereka, dan cuba untuk menugasi mereka mengikut minat dan kemampuan mereka, bukannya menghakimi orang berdasarkan stereotaip.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam jawatan kanan, perlu dinilai pilihan-pilihan bagi wanita yang masih mahu bekerja di lapangan meskipun selepas memegang jawatan kanan. Ini termasuklah menawarkan perkhidmatan yang lebih baik buat wanita dalam media, terutamanya tentang penjagaan kanak-kanak, bekerja dari rumah, dan waktu kerja yang fleksibel.

Organisasi media juga harus:

  1. menetapkan dasar berkenaan buli, gangguan seksual, kesamarataan jantina, serta menjelaskan tentang mekanisme pemulihan.

  2. menyediakan saluran dalaman bebas untuk menyampaikan aduan dalam kes gangguan seksual.

  3. menyediakan persekitaran lebih kondusif untuk semua, satu dasar harus disediakan untuk mengelakkan penggunaan kata-kata yang merendah-rendahkan kredibilit wanita (e.g. kata-kata yang meremehkan pencapaian wanita)

  4. memastikan editor turut mengambil langkah awal dan bertanggungjawab ke atas keselamatan wartawan wanita. Mereka tidak harus membiarkan keadaan berlanjutan jika mengesyaki sesuatu berlaku, bukannya hanya meminta wartawan melindungi diri sendiri. Editor tidak harus sekali-kali mencadangkan wartawan wanita melakukan tindakan provokatif (e.g. dari segi pakaian dan tingkah laku), sebagai cara untuk mendapatkan berita.

Kesimpulan

Pemilihan topik dan cerita yang bersifat peka jantina, selain penggunaan bahasa yang adil jantina, haruslah wujud di setiap peringkat dalam proses pengumpulan berita oleh media. Pembentukan persekitaran yang dapat mendukung dan menggalakkan perwakilan wanita yang lebih adil dalam media, akan turut membantu penyertaan yang konstruktif buat wanita dalam ruang awam.

Media perlu mempertimbangkan untuk mengukuhkan tindakan dan dasar mereka, bagi mengurangkan masalah yang dinyatakan di atas. Adalah penting sekali untuk media memainkan peranan yang mampu mentransformasi ke arah menyuburkan pemikiran yang lebih inklusif dan mengurangkan halangan yang dihadapi oleh wanita dan kumpulan minoriti lain dalam industri media.


1 Pada Jun 2021, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dengan kerjasama KRYSS Network, Institute of Journalists, Gerakan Media Merdeka dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia telah memulakan perbincangan kumpulan sasaran dengan pengamal media, kumpulan hak asasi wanita dan kumpulan LGBTQ bagi memahami cabaran berkaitan dasar jantina dan pelaporannya di media, seterusnya berusaha ke arah menghasilkan Garis Panduan Jantina untuk Media, sebagai satu jalan ke hadapan.

Powered By: