About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Pandemik: Peralihan media ke digital, kualiti yang dipersoalkan
Norman Goh
Oct 14, 2021 3:14 AM
Share To:

Sejak ledakan media sosial bermula pada awal 2000-an, kepelbagaian platform media sosial mempengaruhi perubahan besar dalam model perniagaan banyak organisasi berita. Ini memaksa bilik berita untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, dan bagaimana untuk menyampaikan produk berita dengan lebih berkesan.

Pandemik Covid-19 hadir membawa impak yang baik dan buruk buat organisasi berita. Ia memaksa wartawan dan editor menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cara baharu pengumpulan berita, selain memberi kesan kepada legasi organisasi berita yang bergantung kepada langganan bercetak.

Sejak Mac 2020, Malaysia diletakkan dalam perintah sekatan pergerakan sebanyak tiga kali, sebagai usaha membendung penularan virus itu. Sektor-sektor industri utama terkesan kerana penutupan ekonomi, memburukkan lagi keadaan buat industri media.

Setelah pertukaran kerajaan susulan Langkah Sheraton pada 2020, Malaysia sekali lagi menyaksikan pertukaran kepemimpinan pada Ogos 2021 apabila bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dan Ismail Sabri Yaakob dari Umno dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Perubahan pentadbiran itu turut menyaksikan tekanan terhadap kebebasan media di negara ini, serta penggunaan undang-undang yang bersifat menekan, mengehadkan hak untuk mendapatkan maklumat bagi petugas media.

Sepanjang setahun lepas juga, meskipun rakyat Malaysia banyak menghabiskan masa di rumah dan bekerja dari rumah, wartawan dan editor berdepan kesukaran mengumpul dan mengesahkan maklumat sahih, selain akses ke sidang media dan acara kerajaan rasmi juga adalah terhad.

 

Leslie Lau, editor eksekutif MalayMail Online berkata, dari sudut pandang mereka, penumpuan dan pencapahan pelbagai platform untuk organisasi media adalah tentang bagaimana menukarkannya kepada trafik sebenar ke laman sesawang, dari kaca mata perniagaan kerana pengiklanan.

“Saya rasa, pandemik ini - kerana seluruh dunia bekerja dari rumah dengan jayanya - ia mendorong kita menjadi terlalu bergantung pada media sosial untuk mendapatkan bahan berita. Berita yang anda tahu sekarang, syarikat media sudah bukan lagi menjadi penyaringnya.

“Ahli politik dan pencetus berita menggunakan Facebook, Twitter, TikTok atau Instagram untuk (menyampaikan) pandangan mereka, dan saya rasa, ini sangat mencabar buat syarikat media. Bagi saya sendiri, adalah sangat mencabar untuk memantau aliran maklumat secara terus-terusan dari merata-rata (sumber) di media sosial,” tambahnya.

Kemunculan platform media sosial baharu

Tahun 2020 dan 2021 bukan saja menyaksikan kembalinya platform yang sudah cukup terkenal seperti Twitter, tetapi juga pemain baharu seperti TikTok dan Clubhouse. Kebanyakan organisasi berita besar kini - jika tidak hampir kesemuanya - menggunakan TikTok untuk mendekati audiens lebih muda, bagi menarik trafik ke laman web serta untuk kesedaran jenama mereka.

Walaupun Facebook masih lagi di tangga teratas di negara ini dengan lebih 24 juta pengguna sementara Instagram pula mempunyai 13.5 juta pengguna, TikTok merupakan salah satu platform media sosial yang paling pesat berkembang dengan lebih empat juta pengguna di Malaysia kini.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Hussamuddin Yaacub percaya bahawa media mereka Sinar Harian berada di laluan tepat untuk memacu perubahan. Meskipun saluran berita dan rangkaian televisyen utama cuba menyampaikan berita daripada pelbagai kategori, kata Hussamuddin, Sinar menyampaikan berita yang berat dalam cara TikTok - atau cara yang lebih ringan.

“Kami persembahkan berita di TikTok dan kami gunakan orang muda atau pelatih industri untuk menulis berita TikTok. Di Sinar, kami akan sentiasa memberikan peluang kepada orang muda. Sebab itulah anda lihat ketika kami bersiaran langsung di Istana Negara, kami tampilkan suara muda. Kami mahu berikan peluang baharu kepada orang baharu.

“Kami perlahan-lahan memasuki pasaran muda, sebab itulah kami wujudkan “Anak Muda Yang Baru Nak Up”. Orang muda tak akan beli naskhah bercetak, selalunya orang tua yang beli. Kalau anda lihat, angka digital masih sedang berkembang,” katanya.

Trend berubah, kandungan dipelbagaikan

Adalah perkara biasa untuk bilik berita terikut-ikut dengan platform-platform baharu, tetapi bagi Zurairi AR, pengarang berita di MalayMail Online, dia berpandangan bahawa banyak bilik berita yang bertindak terburu-buru tanpa memikirkan masak-masak tentang apakah penglibatan dalam platform berkenaan selari dengan strategi editorial, sumber dan tenaga kerja mereka ataupun tidak.

Katanya, sebahagian saluran berita tidak mempertimbangkan apakah sebenarnya yang dimahukan audiens. Ini mungkin memanfaatkan sesetengah penerbit, tetapi katanya, ini juga boleh menyebabkan penerbit membazirkan masa dan sumber terhadap platform berkenaan tanpa sebarang objektif.

“Seolah-olahnya apa saja yang mereka lakukan di platform baharu ini macam tak kena, dan maklum balasnya tak sampai ke bilik berita utama. Contohnya, strategi sepatutnya adalah untuk menggunakannya untuk menarik (trafik).

“Ada strategi bersepadu ke arah itu - menjadikan semua hantaran media sosial seberapa umum dan seberapa berkesan yang mungkin untuk menarik orang menjadi ahli dan seterusnya melanggan, tetapi saya tak lihat banyak strategi ini diguna pakai oleh mana-mana saluran meida,” kata Zurairi.

Pengguna Malaysia sedang perlahan-lahan bergerak ke arah dua atau lebih cara mendapatkan berita - salah satunya ialah penerbitan panjang dan berbentuk analisis, yang tidak diterbitkan dengan terlalu kerap.

Kejayaan cetakan berkala seperti Svara tidak pernah terjadi sebelum ini kerana wujudnya jurang antara keperluan pengguna dan agenda bilik berita. Memandangkan fitrah berita yang pantas, pengguna kadangkala memilih penulisan yang lebih beranalisis untuk memahami apa sebenarnya yang sedang terjadi.

Zurairi menganggarkan bahawa dalam 5 tahun akan datang, akan muncul lebih banyak kandungan yang khusus pada bidang tertentu, seperti CodeBlue - penulisan berkaitan kesihatan - dan Periuk.my - penulisan berkaitan makanan.

“Orang cuba bertahan pada nilai dan jenama mereka. Penjenamaan itu adalah nilai anda, dan saya fikir, jalan ke hadapan untuk berita dalam lima tahun akan datang adalah penerbitan yang berpegang pada nilai mereka, bukannya memenuhi kehendak setiap orang,” katanya.

Kualiti kewartawanan merosot?

Sebelum Covid-19, Tamil Nesan menghentikan operasi secara keseluruhan, manakala MalayMail yang sudah sudah berusia 122 tahun menghentikan penerbitan bercetaknya dan beroperasi penuh secara dalam talian pada 2018. Antara perniagaan media yang mula-mula gulung tikar ialah Blue Inc. Media, yang terkenal dengan majalah Cleo, Female, Her World, Harper's Bazaar, Jelita, dan Marie Claire.

China Press dan SIn Chew Daily pula menghentikan penerbitan bercetak edisi petang mereka secara sementara pada April 2020. Pada 17 April 2021 pula, satu lagi akhbar Cina, Oriental Daily menghentikan penerbitan bercetak secara keseluruhan dan beralih kepada digital, dan memberhentikan sekurang-kurangnya 60 pekerja.

Kumpulan media gergasi seperti Media Prima dan Star Media Group turut mengeluarkan notis pemberhentian kerja, masing-masing melibatkan 300 dan 100 pekerja. Buat masa ini, Media Prima merupakan kumpulan konglomerat media terbesar, terdiri daripada New Straits Times Press, Utusan Malaysia, Stesen Televisyen Malaysia Berhad yang memiliki rangkaian televisyen percuma seperti TV3 serta pelbagai laman web digital di bawah Rev Asia.

Pada masa syarikat-syarikat media bertumpu di bawah kumpulan media lebih besar dengan pemilik dan pelaburan baharu, muncul semakin banyak pemain baharu dengan menubuhkan beberapa portal berita digital.

Sinar Harian dan Utusan Malaysia memulakan model langganan dalam talian menawarkan akses freemium (kandungan percuma dengan beberapa kandungan berbayar) manakala The Star pula menggunakan model langganan penuh seperti yang digunakan Malaysiakini dan The Malaysian Insight.

Trend utama dalam perubahan tingkah laku penggunaan berita termasuklah kesediaan pengguna untuk membayar langganan, tetapi dalam masa yang sama, berdepan persaingan daripada penyedia perkhidmatan penstriman video baharu seperti Netflix, HBO dan Disney+ yang memasuki pasaran pada 2021.

Gaji penengah isi rumah Malaysia yang merosot sebanyak 10 ke 15 peratus - berdasarkan Jabatan Perangkaan Negara - turut mempengaruhi pengguna untuk menyeimbangkan bilangan langganan mereka, antara berita dan hiburan.

Di Malaysia, meskipun semakin ramai berminat menerima kemas kini berita terkini, masih tidak jelas apakah ramai yang sanggup membayar langganan berita digital. Menurut laporan Reuters Institute for the Study of Journalism pada 2021, hanya 16 peratus daripada 33 juta rakyat Malaysia yang sanggup membayar untuk mendapatkan berita.

Pengarang urusan Malaysiakini, Ng Ling Fong berkata, pembaca mereka masih setia kepada portal berita itu, dan jumlah pembaca melonjak ketika peristiwa besar seperti drama politik.

“Laman web baharu datang dan pergi kerana politik. Ia bergantung pada keperluan tuan dan penaja politik di belakangnya. Laman-laman web dapat dibina dengan mudah, juga boleh ‘pergi’ dengan mudah. Pada ketika pembiaya memerlukan mereka, maka, mereka akan terus wujud. Jika sudah tidak, maka hilanglah mereka. Asas terpenting buat media bebas adalah mempunyai pembiayaan yang juga bebas,” katanya.

Husammuddin mengalu-alukan kemunculan pemain baharu dalam industri itu kerana ia membolehkan pengguna mula membuat perbandingan antara organisasi media baharu dengan yang sudah mempunyai rekod prestasi sedia ada.

“Inilah masanya untuk kamu benar-benar berkembang. Kamu harus buat sampai jadi meskipun terdapat pesaing, kerana saya tahu, mereka bukannya benar-benar mahu turut berlumba, mereka cuma mahu ‘kacau market’, kerana hendak bermula itu sangat murah.

“Ketika awal saya bermula dengan Sinar Harian, saya mengumpulkan RM80 juta untuk membiayai akhbar itu. Sekarang, untuk memulakan satu laman web berita digital, (memerlukan) dua atau tiga orang sahaja. Perkara paling penting, kami mesti kekalkan kredibiliti kami. Orang tahu Sinar Harian dimiliki secara persendirian oleh seseorang yang tidak berpolitik. Dalam jangka masa panjang, ia juga baik untuk kami. Maknanya, orang akan berpegang pada jenama yang mereka tahu, seperti Milo. Dalam jangka masa panjang, kami akan terus kekal di sini,” jelasnya.

Bagi Zurairi pula, dia tidak melihat pemain baharu akan menyumbang kepada industri - dalam erti kata kemunculan lebih banyak saluran media yang lemah sumber, strategi dan objektifnya, selain yang hanya muncul untuk jangka masa pendek sahaja demi matlamat politik.

Dia mempersoalkan kebolehlangsungan mereka, dan turut curiga apakah mereka mampu membuat untung atau tidak, selain gaji rendah yang ditawarkan tanpa menyumbang untuk latihan kepada wartawan - yang akhirnya akan menjadikan wartawan mereka tidak cukup bagus untuk berkembang dalam industri.

“Sebagai contoh macam Malaysiakini, semua orang tahu jika kamu alumni Malaysiakini, (kamu) ada sesuatu - kamu boleh gunakan itu. Katakanlah jika seseorang itu alumni Malaysiapost atau Wacana, kamu tak rasa yang orang itu terlatih. Apabila seseorang itu menyertai (media lain), terasa seperti kamu harus latih dia semula dengan kewartawanan asas.

“Secara asasnya, mereka hanya melemahkan industri. Mereka akan ambil wartawan yang sedang mencari kerja, tetapi pada masa yang sama, kenapa sesetengah wartawan itu tak mendapat kerja pada awalnya adalah kerana mereka tak mencapai standard. Jadi, ke mana kita dari sini?” soal Zurairi.

Dia turut membangkitkan bahawa sukar bagi wartawan tempatan untuk ke agensi serantau dan antarabangsa kerana tempat yang terhad.

“Orang-orang yang berbakat ini, mereka tak boleh berkembang, gaji rendah, lalu orang-orang yang berbakat ini pun akhirnya meninggalkan industri,” katanya lagi.

Powered By: