About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Kesan maklumat salah dan palsu Covid-19 terhadap bilik berita di Malaysia
Norman Goh
Oct 14, 2021 3:07 AM
Share To:

Pandemik Covid-19 telah menjangkiti lebih sejuta orang di negara ini sejak awal penemuannya di Malaysia pada Januari 2020. Dalam setahun lepas, penularan penyakit itu menjadi semakin sulit dan sukar untuk dikawal dengan kemunculan pelbagai varian yang lebih mudah berjangkit dan tersebar, meskipun Malaysia semakin hampir mencapai imuniti kelompok dalam populasi penduduk seramai 32 juta orang sejak pemberian vaksin dilakukan di seluruh negara bermula Februari 2021.

Seperti Covid-19, penularan maklumat salah dan palsu berhubung penyakit itu dan teori konspirasi mula muncul berleluasa di media sosial dan ruang digital, menyebabkannya menjadi satu infodemik. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan infodemik berkaitan Covid-19 sebagai “lambakan maklumat termasuk maklumat palsu dan mengelirukan dalam persekitaran fizikal dan digital semasa sesuatu wabak penyakit.”

Maklumat salah dan palsu tentang Covid-19 boleh menyebabkan banyak kekeliruan serta maklumat yang menyesatkan lagi berbahaya.

Ini boleh mendorong tingkah laku mengambil risiko yang membahayakan kesihatan awam, selain mendorong rasa tidak percaya terhadap pihak berkuasa kesihatan dan media, serta melemahkah usaha kesihatan awam untuk meredakan dan mengawal pandemik Covid-19.

Laporan ini cuba memahami dengan lebih mendalam tentang kesan infodemik berkaitan Covid-19, yang menjejaskan bilik berita di Malaysia sepanjang dua tahun ini dan memahami cara dan kaedah yang diguna pakai oleh bilik berita untuk menangani masalah maklumat yang salah dan palsu.

 Sejak 2020, pentadbiran kerajaan ketika itu, Perikatan Nasional berikrar untuk menangani maklumat salah dan palsu dengan lebih serius bagi mengatasi maklumat mengelirukan tentang Covid-19. Sejak pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan pada Februari 2021 di tengah pelaksanaan darurat, kerajaan mengenakan ordinan darurat khas untuk memerangi infodemik.

Sesiapa yang didakwa menyebarkan “berita palsu” berdepan denda maksimum RM100,000 dan sehingga tiga tahun penjara. Di bawah ordinan itu, adalah menjadi kesalahan untuk sesiapa yang “mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar” yang boleh menyebabkan ketakutan atau kebimbangan awam.

Meskipun Akta Antiberita Tidak Benar 2018 telah dimansuhkan pada 2019 ketika zaman Pakatan Harapan, ordinan itu digubal sebagai tambahan kepada undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk memerangi maklumat salah dan palsu, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Akta Hasutan 1948.

Saringan berita semakin sulit

Leslie Lau, pengarang eksekutif MalayMail mengakui bahawa infodemik Covid-19 menjadikan keadaan lebih mencabar buat wartawan dan pengarang untuk menyaring maklumat dengan pengesahan dan pemeriksaan fakta.

“Saya fikir, secara umumnya, kebanyakan daripada kami di MalayMail akan berpegang pada sumber rasmi i.e sama ada WHO atau Kementerian Kesihatan. Pada tahun lepas tak banyak sangat masalah, kebanyakannya (masalah) berlaku tahun ini.

“Tahun lepas, saya fikir, anda dapat rasakan bahawa (orang) lebih percaya kepada sistem, tetapi khususnya tahun ini, golongan antivaksin dan pelobi ivermectin sudah semakin bertambah. Satu hal yang saya banggakan, dalam kalangan rakan-rakan di MalayMail, tak ada yang antivaksin. Itu sangat membantu,” kata Lau.

Tambahnya, meskipun menerima tekanan daripada pembaca untuk menerbitkan surat pandangan yang menggesa ke arah rawatan alternatif bagi merawat Covid-19 seperti Ivermectin, katanya, sidang editorial MalayMail memutuskan untuk tidak menyiarkan surat-surat itu demi kemaslahatan awam.

Semasa sesi parlimen khas pada Julai 2021, beberapa ahli parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan mendesak Kementerian Kesihatan untuk membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat Covid-19. Satu ujian klinikal dilakukan tentang penggunaan ubat antiparasit itu, dengan Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan percubaan terkawal berlabel terbuka yang berlainan pusat.

“Kami ada buat liputan secara minimum terhadap pelobi ivermectin, tetapi semestinya daripada sudut pandang maklum balas Kementerian Kesihatan terhadap mereka, bukan mempromosikan atau membantu mereka.

“Perasaan saya mengatakan bahawa kebanyakan daripada mereka ini hanya terdesak. Saya ada terima panggilan telefon daripada orang-orang yang saya tidak jangka untuk mempromosikan ivermectin, bertanyakan mengapa kami sangat negatif tentangnya atau tak mahu membuat liputan tentangnya.

“Saya fikir, daripada satu segi, ia tidaklah susah pun. Ia masih belum terbukti, ia bukan sains. Ia hanya benda karut,” kata Lau.

Sementara itu, sudut pandang organisasi media cetak turut selari dengan pandangan yang diutarakan MalayMail berhubung infodemik.

Hussamuddin Yaacub, pemilik dan pengarah urusan akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian, menjelaskan bahawa dasar mereka adalah untuk mengelakkan berita-berita tergempar.

“Kami harus mengesahkan cerita (tergempar) itu, dan sebab itulah kini di Sinar Harian, kami lebih berhati-hati apabila berbicara tentang persaingan untuk mendapatkan berita tergempar, kerana kami tidak bergantung pada digital dan kebanyakan pendapatan kami adalah daripada naskhah cetak selain iklan di naskhah cetak.

“Saya rasa, daripada satu segi, ini perkara yang positif. Kami biar orang lain melakukan kesilapan, (tetapi) kalau kamu mahukan kebenaran, maka tunggulah laporan daripada Sinar,” katanya.

Hussamuddin menegaskan bahawa organisasi media bercetak sudah terbiasa berada dalam persekitaran industri yang ditadbir Kementerian Dalam Negeri untuk bertahun-tahun lamanya. Di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Kementerian Dalam Negeri dan menterinya mempunyai kuasa untuk memberi atau membatalkan lesen kepada syarikat media.

Katanya lagi, media cetak sudah dilatih dalam persekitaran di mana Menteri Dalam Negeri akan menghubungi penulis, editor, pencetak atau pengedar untuk disoal jika berlaku kes tersalah lapor atau laporan sensitif.

Hal itu, katanya, mendorong kepada dasar yang menuntut mereka untuk mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menangani maklumat salah dan palsu.

“Kami telah dilatih untuk menyokong kerajaan semasa, jadi kami perlu rujuk kepada suber rasmi. Contohnya, kalau kamu lihat pendirian editorial Sinar Harian tentang antivaksin, sejak dari hari pertama lagi, kami cuba mengelakkan kontroversi.

“Kami bina syarikat sehingga ke tahap ini dan kami tak harus membuat kesilapan. Kami agak konservatif. Tetapi kami tidak mengejar nombor satu, kerana untuk menjadi nombor satu, anda perlu langgar segala peraturan.

“Ketakutan mengawal kita. Reputasi syarikat adalah perkara yang paling tinggi,” tegas Hussamuddin.

Akses maklumat terhad buat wartawan

Pandemik Covid-19 di Malaysia menyaksikan sekurang-kurangnya tiga pelaksanaan berbeza larangan dan kawalan pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan jangkitan. Keadaan itu menyukarkan lagi kerja wartawan dan organisasi media untuk mendapatkan pengesahan terhadap begitu banyak persoalan dan maklumat berkaitan Covid-19.

Ng Ling Fong, pengarang urusan Malaysiakini mengakui tentang kurangnya ketelusan dan akses kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Kesihatan. Pejabat Perdana Menteri pada era Perikatan Nasional pula, di bawah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, hanya membenarkan organisasi media terpilih, khususnya media kerajaan rasmi untuk mendapat akses kepada menteri-menteri dan kementerian.

“Bila sidang media semakin kurang, kami akan mempunyai lebih kurang peluang untuk berjumpa dengan individu bertanggungjawab dalam kementerian - untuk mendapatkan maklumat, untuk mengesahkan isu-isu terutama yang berkaitan Covid-19.

“Walaupun ada yang akan berkata bahawa kami masih boleh menghubungi mereka melalui panggilan telefon dan emel, ia terpulang kepada mereka sama ada mereka mahu membalasnya atau tidak, mereka akan angkat dan pilih maklumat mana yang mereka mahu dedahkan kepada media.

“Lainlah kalau kamu bertanya dalam sidang media, wartawan masih boleh terus mengasak mereka untuk menjawab sekiranya mereka mengelak. Kami perasan bahawa kekerapan sidang media oleh Kementerian Kesihatan mula semakin berkurangan, daripada secara harian kepada mingguan, dan kini menjadi semakin kurang dan kurang (kerap),” kata Ng.

Pada awalnya, kata Ng, sidang media kerajaan berhubung Covid-19 terbuka buat semua dan media dibenarkan bertanya soalan dengan bebas. Tidak lama kemudian, media diminta menghantar soalan lebih awal kepada pihak bertanggungjawab di Kementerian Kesihatan untuk dipilih soalan-soalan yang akan akan diajukan semasa sidang media.

Malaysiakini turut menerbitkan satu siri penjelasan ringkas dipanggil “PanduanKini” sebagai usaha menyediakan laporan yang lebih mendalam dan lebih deksriptif, antaranya tentang pandemik Covid-19 dan vaksin. Artikel-artikel itu diterjemah ke platform semua bahasa utama, iaitu dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Leslie Chau dari MalayMail turut menyuarakan sentimen serupa bahawa kawalan pergerakan semasa larangan pergerakan, menyukarkan lagi bilik berita dan mengganggu proses mengumpul berita di tengah pandemik.

Katanya, keadaan itu menyebabkan bilik berita menjadi lebih bergantung dan lebih terdedah kepada pemanipulasian berita palsu.

“Kadangkala ketika kamu alpa, kamu tersiar berita yang tak berapa tepat. Ini memang sudah terjadi sebelum Covid-19 lagi, tetapi saya fikir ia semakin menjadi-jadi kini, lebih-lebih lagi memandangkan syarikat media berita tersepit oleh tekanan kewangan yang teruk,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa sukar mencari orang untuk ditemu bual, dan kebimbangannya adalah bagaimana untuk melindungi wartawan daripada terkena Covid-19. Realitinya, kata Lau, bilik berita semakin kekurangan wartawan tetapi harus bekerja lebih lama.

“Sangat susah, kerana editor tidak mempunyai masa yang cukup untuk memantau (berita) dan tak tak ada sumber yang cukup untuk lihat apa yang berlaku di luar sana.

“Saya fikir, ia merupakan satu tekanan yang dahsyat, tetapi ia menimbulkan satu persoalan - bahawa kewartawanan tradisional itu bermakna anda perlukan masa dan ruang untuk bekerja, untuk mencari cerita sebenar.

“Sekarang ini, dengan persaingan di luar sana dan cabaran untuk mengesahkan cerita, ia sangat sukar.”

Powered By: